12 MEI: Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara yang berkuat kuasa hari ini, Jabatan Penjara Malaysia (JPM) mengumumkan pembatalan lawatan khas keluarga penghuni sempena Aidilfitri 2021.
Menurut kenyataan JPM, bagaimanapun bagi memberi peluang kepada penghuni untuk berhubung dengan keluarga mereka, kemudahan penggunaan sidang video menerusi e-mel jabatan itu atau Icewarp akan disediakan bermula 15 Mei sehingga 7 Jun ini.
“Tempoh ini lebih lama, iaitu 24 hari dari tempoh perjumpaan secara lawatan dijadualkan sebelumnya yang hanya lima hari.
“Perjumpaan menerusi kaedah Icewarp hanya dibenarkan kepada keluarga penghuni yang membuat tempahan melalui penjara berkaitan,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Twitter JPM.
JPM berkata, tempahan untuk mengadakan lawatan melalui Icewarp boleh dibuat bermula hari ini, menerusi dua kaedah, iaitu panggilan telefon di institusi itu dan e-mel atau surat ke institusi berkenaan.
Katanya, penjara berkaitan akan menetapkan tarikh perjumpaan dengan tempoh masa pertemuan maksimum selama 15 minit, bergantung kepada situasi semasa institusi terbabit.
Bagi memberi peluang kepada semua keluarga penghuni, jelasnya, perjumpaan untuk setiap penghuni hanya dibenarkan sekali.
“Penghuni juga dibenarkan menggunakan kemudahan telefon prabayar yang disediakan untuk menghubungi keluarga sekiranya perlu.
“Sila hubungi penjara berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut, manakala penerangan berhubung sesebuah penjara boleh didapati di laman sesawang JPM, www.prison.gov.my,” katanya.- Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN