12 MEI: Umat Islam di Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri pada Khamis ini, bersamaan 13 Mei 2021, selepas genap sebulan menjalani Ramadan yang bermula 13 April lalu.
Pengumuman berhubung tarikh perayaan itu dimaklumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad kira-kira jam 8 malam tadi menerusi siaran televisyen.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini akan disambut dalam norma baharu seperti tahun lalu, selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara, mulai 12 Mei sehingga 7 Jun 2021.
Pada Aidilfitri ini, masyarakat akan meraikan perayaan itu di kawasan masing-masing kerana kerajaan melarang rentas daerah dan negeri, kecuali bagi tujuan kecemasan, kesihatan, pekerjaan, ekonomi, temu janji vaksinasi serta pasangan jarak jauh. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN