14 MEI: Angka kematian COVID-19 hari ini, kembali mencatatkan jumlah melebihi 30 kes apabila merekodkan 34 kes, hari ini.
Pada 12 Mei, angka kematian pandemik itu yang direkodkan di negara ini adalah tertinggi dengan 39 kes, namun semalam menurun kepada 27 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan itu membabitkan kematian warganegara menjadikan kes kumulatif kematian akibat COVID-19 di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 1,822 kes.
“Jumlah kes unit rawatan rapi (ICU) dan pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan turut meningkat sedikit, masing-masing 481 kes dan 247 individu.
“Kes kematian hari ini membabitkan lapan kes di Selangor, masing-masing enam kes di Johor dan Kuala Lumpur, empat kes di Kelantan serta tiga kes di Kedah.
“Selain itu, masing-masing dua kes di Sabah dan Melaka, manakala masing-masing satu kes di Perak, Terengganu serta Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, kes baharu COVID-19, mula mencatatkan penurunan apabila merekodkan 4,113 kes hari ini, berbanding 4,855 kes semalam.
Selangor turut menunjukkan penurunan hari ini dengan jumlah kes baharu 1,268, sekali gus menyaksikan pengurangan kes bagi tiga hari berturut-turut.
Dr Noor Hisham berkata Sarawak merekodkan 533 kes baharu, diikuti Kelantan (371), Johor (335), Kuala Lumpur (306), Pulau Pinang (266), Kedah (228), Pahang (178), Terengganu (165), Perak (147), Negeri Sembilan (124) dan Melaka (107).
“Negeri lain adalah Sabah yang menunjukkan 53 kes baharu dan Putrajaya 20. “Hanya dua negeri yang mencatatkan kes baharu satu angka, iaitu Labuan dan Perlis, masing-masing enam serta lima kes,” katanya
Sementara itu, 13 kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, masing-masing membabitkan empat kluster tempat kerja dan kluster komuniti, dua kluster keagamaan, manakala masing-masing satu kluster pendidikan tinggi, kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta kluster kumpulan berisiko tinggi.
Kluster tempat kerja itu, katanya, adalah di Jalan Perindustrian Balakong, Hulu Langat, Selangor; Tanjung Dungun, Terengganu; Menara Jalan Putra, Kuantan, Pahang dan Persiaran Utara, Kota Tinggi, Johor.
Beliau berkata, kluster komuniti adalah di Bukit Pauh; Sungai Lebai, Pekan Pahang; Sungai Rayah, Meradong, Sarawak dan Jalan Mawar Pasak, Kota Tinggi Johor.
Jelasnya, kluster keagamaan pula direkodkan di Dah Mahsuri, Kubang Pasu Kedah dan Kampung Batu Muda, Kepong, Kuala Lumpur.
Manakala, katanya, kluster pendidikan tinggi, kluster institusi pendidikan swasta berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan kluster kumpulan berisiko tinggi, masing -masing di Jalan Tegas, Selangor; Lebuh Lembah Permai, Pulau Pinang serta Lebuh Katz, Timur Laut, Pulau Pinang. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN