14 MEI: Jabatan Laut Malaysia (JLM) sentiasa mengemaskini tatacara dan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan operasi dan sistem pengangkutan maritim berkaitan pelaut serta industri perkapalan jelas dan difahami ketika pandemik COVID-19.
JLM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah melaksanakan penyelarasan keseragaman menjurus kepada aktiviti operasi perkapalan di kawasan pelabuhan berikutan kekeliruan terhadap SOP COVID-19 industri maritim.
“JLM dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan dan agensi kerajaan lain sentiasa menyokong usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dalam membendung penularan pandemik di Malaysia.
“Kesemua kapal yang tiba atau masuk ke kawasan pelabuhan dari India tidak diwajibkan menjalani proses kuarantin 14 hari di laut.
“Deklarasi Kesihatan Maritim kapal-kapal itu akan diperiksa oleh pihak KKM dan diberikan ‘free-pratique’ sebelum dibenarkan masuk lalu merapat ke dermaga bagi menjalankan operasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, jika kapal terbabit disyaki amat berisiko membawa gejala COVID-19, maka kapal akan diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di laut.
“Pekerja pelabuhan dan individu darat dibenarkan menaiki kapal terbabit bagi aktiviti kargo, serta diwajibkan memakai pelitup muka dan sarung tangan.
“Sekiranya mereka memerlukan interaksi dengan mana-mana anak kapal di atas kapal atau memasuki mana-mana ruangan kabin, kesemua individu berkenaan perlu penambahan pemakaian pelindung muka (face shield) dan apron peralatan perlindungan diri (PPE).
“Bagaimanapun, pemakaian PPE penuh oleh kedua-dua pihak adalah berdasarkan penilaian risiko yang akan ditentukan oleh Lembaga Pelabuhan dengan mengambil kira nasihat JLM dan KKM,” katanya.
JLM mengulas kenyataan sebuah portal berita bertajuk ‘Tiada SOP Tetap, Pemain Industri Perkapalan Keliru’.
Selain kepatuhan yang tinggi terhadap SOP COVID-19 katanya, keberkesanan operasi di pelabuhan juga menjadi antara aspek yang penting untuk diambil kira.