14 MEI: Polis Johor menahan seorang lelaki berusia 21 tahun bagi membantu siasatan tunjuk perasaan di kawasan Parit Raja, menghala ke Ayer Hitam, Batu Pahat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata polis menerima panggilan telefon pada jam 11.04 pagi Khamis mengenai video kejadian merusuh, membakar suar dan menaikkan kain rentang bertulis ‘kerajaan Gagal’.
Jelasnya, beberapa anggota dari Balai Polis Parit Raja pergi ke lokasi dimaksudkan dan mendapati kain rentang berkenaan diturunkan orang awam.
“Pada jam, 7.36 malam hari sama, pihak polis menerima satu lagi laporan daripada orang awam yang menunjukkan rakaman video perhimpunan tidak mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan.
Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Parit Raja dan dipercayai kain rentang dinaikkan semasa perhimpunan itu adalah sama dengan yang digantung di jejantas berkenaan.
“Polis menerima beberapa panggilan telefon mulai jam 12.00 malam sehingga 1.00 pagi melaporkan aktiviti samseng jalanan di kawasan Parit Raja dan berjaya disuraikan.
“Tindakan pencegahan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan di daerah Batu Pahat, khususnya di kawasan Parit Raja,” katanya.
Beliau berkata, polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya berhubung dengan Balai Polis Parit Raja di talian 07-4541222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat ditalian 07-4363300.
Kes, katanya, disiasat mengikut Seksyen 144 Kanun Keseksaan atau Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan.