14 MEI: Polis menahan 20 individu dipercayai terbabit kejadian merusuh, membakar suar serta membuat dan menggantung kain rentang ‘kerajaan gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat, seperti paparan menerusi video tular di media sosial, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata individu ditahan berumur antara 16 sehingga 28 tahun merupakan penduduk setempat.
“Semua mereka dikenakan perintah tahanan reman selama empat hari sehingga 17 Mei,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ismail berkata, mereka ditahan susulan operasi mengesan dan menangkap dijalankan polis sebaik sahaja maklumat kejadian itu diterima.
Hasil siasatan juga, katanya, mendapati kejadian semalam berlaku sekitar jam 2.00 pagi di persimpangan Pekan Parit Raja di KM 22.5 Jalan Batu Pahat – Kluang.
“Kumpulan terbabit yang dianggarkan seramai 40 orang membuat halangan menggunakan motosikal dan kereta kepada penguna kenderaan melalui jalan itu selama 15 minit bagi menarik perhatian mereka, selain menunjukkan kain rentang bertulis ‘kerajaan gagal’ serta membakar suar dan mercun.
“Kain rentang sama juga dibawa dan digantung mereka di jejantas di hadapan SJKC Kong Nan sejurus kejadian itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, siasatan kejadian itu dijalankan di bawah Seksyen 144, 269, 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (Akta 342) serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.