15 MEI: Siasatan teliti sedang dilaksanakan pihak polis berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) melibatkan enam anggota polis yang menikmati juadah di rumah bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, pada Hari Raya Pertama Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, siasatan itu hasil laporan polis terhadap posting yang telah dimuat naik di dalam sebuah akaun facebook serta twitter.
Menurut beliau, berdasarkan siasatan pemilik akaun Facebook tersebut iaitu Kamarudin Mat Desa, merupakan bekas pegawai kanan polis yang telah bersara pada tahun 2007 dan jawatan terakhir ialah Timbalan Pengarah JSJK Bukit Aman.
“Gambar tersebut telah dimuat naik dalam akaun Facebook itu yang kemudianya telah tersebar sehingga ke laman Twitter.
“Berdasarkan gambar itu, kelihatan enam anggota orang Polis dari Balai Polis Seksyen 6 yang sedang menikmati juadah dan gambar tersebut dirakamkan pada hari raya pertama.
“Pada hari kejadian, pihak polis sedang menjalankan pemeriksaan di rumah Kamaruddin atas tugas pemantauan Ops Covid-19 memandangkan terdapat enam buah kereta yang diletakkan di kawasan rumah tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru itu, Baharudin memaklumkan siasatan kini dijalankan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021. (Melanggar SOP PKP) dengan sabit kesalahan boleh dikompaun sehingga RM2,000 kepada pengunjung dan RM10,000 terhadap pemilik rumah.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam kadar segera,” katanya.
Terdahulu, kejadian 13 Mei itu yang dianggap melanggar prosedur operasi standard PKP telah viral dan menerima kritikan netizen menerusi dua posting yang telah dimuat naik oleh pesara polis berkenaan dalam akaun Twitter peribadinya beserta gambar menjamu selera dengan tetamu-tetamunya.