15 MEI: Biarpun mendapat kecaman netizen, namun Muhammad Khalil Abdul Hadi, tetap tenang dan akan meneruskan tugasnya sebagai Ketua Sekretariat Aid4Palestin yang ditubuhkan bapa yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Muhammad Khalil menjelaskan tugas sebagai Ketua Sekretariat Aid4Palestin adalah kerja sukarelawan dan tidak membabitkan sebarang bayaran.
Berikutan itu, Muhammad Khalil meminta semua pihak berhenti mempolitikan pelantikannya jawatan berkenaan semua kerja dilakukan tidak membabitkan sebarang bayaran elaun atau gaji.
“Kita kena bezakan antara jawatan dalam kerajaan dengan jawatan dalam badan sukarelawan. Saya terima jawatan ini demi membantu rakyat Palestin secara sukarela bukan kerana bayaran atau imbuhan tertentu.
“Tambahan pula, Malaysia adalah sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran undang-undang.
“Jika ada pihak mempunyai sebarang bukti kukuh menunjukkan saya menyeleweng dana berkenaan untuk membantu masyarakat Palestin ini, maka silalah buat laporan rasmi kepada pihak berkuasa supaya mereka boleh menjalankan siasatan terperinci dengan adil,” katanya ketika dihubungi wartawan portal berita PNBBC di sini, sebentar tadi.
Terdahulu, sebuah portal berita pro pembangkang mendakwa banyak pihak mempertikaikan tindakan Abdul Hadi melantik anaknya, Muhammad Khalil mengetuai Sekretariat Aid4Palestine yang ditubuhkannya.
Ini kerana, tugas utama untuk sekretaraiat ini adalah untuk mengumpulkan dana dan anak beliau menjadi pengurus kepada dana besar ini.
Pada 13 Mei lalu, Abdul Hadi mengumumkan selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa tokoh masyarakat dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beliau bersetuju menubuhkan “Sekretariat #Aid4Palestine” sebagai mengambil tindakan proaktif dan segera bagi membantu perjuangan Palestin.
Abdul Hadi berkatan sekretariat yang akan berfungsi sebagai koordinator jaringan NGO dan masyarakat sivil bagi menggerakkan kempen kesedaran rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin, serta menyelaras kutipan dana #Aid4Palestine melalui kaedah crowdfunding dengan sasaran bantuan RM1 juta yang akan disalurkan terus ke bumi Palestin. – Oleh HAIKA KHAZI