15 MEI: Kenaikan mendadak kes harian COVID-19 yang telah mencapai melepasi angka 4,000 sejak tiga hari lalu telah mencatatkan hanya daerah Hulu Terengganu diklasifikasikan sebagai zon hijau COVID-19 di Semenanjung negara ini.
Berdasarkan infografik yang dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Facebook rasminya hanya dua daerah di Sarawak ditakrif sebagai zon hijau iaitu Kabong dan Telang Usan yang masing-masing juga tidak merekodkan sebarang kes COVID-19.
“Di Sabah pula, lapan daerah sehingga semalam masih bertahan sebagai zon hijau membabitkan daerah Tambunan, Kudat, Nabawan, Pitas, Tenom, Kuala Penyu, Tongod dan Telupid.
“Semua daerah di Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dikategorikan Zon Merah dengan masing-masing merekodkan lebih daripada 40 kes positif.
“Manakala di Johor, dripada 10 daerah hanya tinggal Mersing sahaja mencatatkan zon kuning dengan 13 kes direkodkan sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.
Menerusi infografik itu juga, Perlis yang sebelum ini mencatatkan sifar kes sudah menjadi zon kuning dengan 12 kes COVID-19 telah direkodkan.
Justeru itu, KKM menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di samping memastikan diri dan keluarga dalam keadaan sihat.
“Varian Afrika Selatan B. 1.351 telah menular dalam komuniti. Sila berhati-hati dan duduk di rumah,” katanya.
Terdahulu, angka kematian COVID-19 negara semalam, kembali mencatatkan jumlah melebihi 30 kes apabila merekodkan 34 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan itu membabitkan kematian warganegara menjadikan kes kumulatif kematian akibat COVID-19 di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 1,822 kes.
Namun, Noor Hisham memaklumkan kes baharu COVID-19, mula mencatatkan penurunan apabila merekodkan 4,113 kes semalam, berbanding 4,855 kes pada 13 Mei lalu. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH