15 MEI: Semua anak-anak kapal yang berlabuh di perairan Malaysia tidak lagi dibenarkan turun dari kapal (sign off), sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei sehingga 7 Jun 2021 bagi membendung penularan wabak.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pengecualian hanya diberikan kepada warganegara Malaysia dan mereka diwajibkan kuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang ditentukan oleh kerajaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut beliau, kapal yang didapati atau disyaki membawa gejala COVID-19 perlu menjalani kuarantin 14 hari setelah semakan ke atas dokumentasi pemeriksaan ‘Maritime Declaration of Health’ oleh pihak KKM.
“Mana-mana kapal termasuk dari negara India tidak perlu dikuarantin di laut selagi mereka mendapat kebenaran daripada KKM untuk berlabuh.
“Semua pekerja di dermaga perlu menggunakan peralatan pelindung diri (PPE) yang diluluskan oleh KKM seperti pelitup muka dan sarung tangan pakai buang semasa bekerja di kapal.
“Pekerja di pelabuhan yang tidak bekerja di dermaga adalah tidak dibenarkan memasuki kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan Malaysia tanpa kelulusan KKM,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Ka Siong memaklumkan semua operasi kargo sama ada di atas dek utama atau ruangan kargo boleh dijalankan oleh pekerja pelabuhan (seperti pekerja lashing dan stevedore) tanpa sebarang interaksi dengan anak-anak kapal.
“Setiap pengemudi kapal yang menjalankan operasi/merapat ke dermaga dikehendaki mematuhi SOP ketat yang ditetapkan KKM termasuklah memakai PPE dan pelitup muka.
“Pengendalian kargo bagi semua kapal asing dari mana-mana negara di seluruh pelabuhan Malaysia adalah dibenarkan bersandarkan kepada SOP yang ditetapkan oleh KKM serta mengikut prosedur operasi dan kebenaran oleh Jabatan Laut Malaysia (KLM) termasuk pihak berkuasa di pelabuhan-pelabuhan yang berkenaan, “katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Ka Siong memaklumkan JLM juga akan saling berkomunikasi dengan semua pihak berkuasa pelabuhan yang berkaitan mengenai SOP serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh semua kapal yang beroperasi di Malaysia..
“Mereka akan saling bekerjasama berhubung aktiviti pertukaran anak kapal, interaksi ship-shore, larangan beroperasi dan lain-lain aktiviti yang berkenaan.
“MOT akan terus memastikan segala SOP pencegahan COVID-19 yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dipatuhi tanpa kompromi serta mengetatkan lagi SOP dari semasa ke semasa sekiranya ada keperluan.
“Kami juga komited melakukan penambahbaikan dalam misi MOT untuk memelihara keselamatan serta kelestarian di sektor pengangkutan dan logistik negara,” katanya.