15 MEI: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC Peringkat Menteri-Menteri Luar, esok bagi membincangkan mengenai tindakan keganasan Israel, pencerobohan dan pendudukan kuasa oleh Israel di Wilayah Palestin terutamanya di Al-Quds Al- Shareef.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Malaysia yang sentiasa menyokong padu perjuangan Palestin dan rakyatnya akan menyertai mesyuarat ini di mana beliau sendiri selaku Menteri Luar Negeri akan mewakili negara dan Kerajaan.
“Saya akan mengambil kesempatan menerusi pertemuan esok bagi menyampaikan pendirian tegas dan tidak berbelah bahagi Malaysia mengenai perkara ini kepada OIC.
“Saya juga akan menyuarakan gesaan Malaysia agar OIC mengambil tindakan lebih tegas dan melaksanakan usaha semaksimum mungkin demi melindungi rakyat Palestin daripada keganasan Israel,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu beliau telah berkomunikasi secara berterusan dengan Menteri Luar Negeri II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Haji Erywan dan Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi bagi mencapai kata sepakat antara negara-negara Islam Asia Tenggara mengenai Palestin.
“Secara kolektif, kami bertiga mengecam sekeras-kerasnya serangan tentera penjajah Isreal terhadap rakyat Palestin dan mahu Israel hentikan serta merta tindakan pencerobohan di seluruh wilayah Palestin,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH