16 MEI: Seorang anggota polis cedera selepas dilanggar kereta dinaiki tiga lelaki disyaki pengedar dadah dalam satu kejadian di Taman Murni, Sepang, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata sebelum kejadian, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah mengekori sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan pada jam 5.30 petang.
Wan Kamarul berkata ketika anggota terbabit hendak menghentikan kereta dinaiki, suspek cuba melarikan diri dengan mengundurkan kereta mereka dengan laju sehingga melanggar sebuah kereta Perodua Kancil dan Proton Waja yang berada tidak jauh dari situ.
“Dalam usaha melepas diri suspek juga melanggar kereta dinaiki pasukan polis sehingga menyebabkan seorang anggota tercampak keluar dan mengalami cedera ringan serta lebam di kepala dan kaki.
“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek lelaki berusia antara 20 hingga 29 tahun ditahan selepas kereta Proton Wira yang mereka naiki tersekat dan berhenti kerana melanggar dua kenderaan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Kamarul berkata polis juga merampas dua peket plastik yang dipercayai mengandungi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 10.30 gram yang dianggarkan bernilai RM1,000 dan kereta Proton Wira dinaiki suspek.
Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap ketiga-tiga individu mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.
“Ketika disoal siasat suspek juga mengaku terlibat dalam aktiviti mengedar dadah sejak dua tahun lalu dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 353/188 kanun keseksaan,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.