16 MEI: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menafikan satu hantaran di media sosial mengaitkan parti itu menyokong Israel dalam konflik terbaharu rejim Zionis menyerang rakyat Palestin.
Ketua Penerangan STAR, Jeffrey Kumin, berkata hantaran itu disifatkan sebagai fitnah dan berniat jahat, malah pihaknya akan membuat laporan polis berhubung perkara terbabit dalam tempoh terdekat.
“STAR Sabah menafikan sekeras-keras ‘posting’ di Facebook ini dan ini adalah perbuatan fitnah, berniat jahat serta nakal dilakukan cytro-cytro (laskar siber) pihak lawan.
“Laporan polis akan menyusul, mohon pihak berkuasa buat siasatan segera terhadap pihak yang membuat posting berkenaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sejak semalam, hantaran dimuat naik dan tular di media sosial itu mendedahkan Presiden STAR yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan bersama Ketua Penyelaras Parlimen STAR Putatan, Phillip Among, memberikan sokongan terhadap Israel dalam konflik dengan Hamas.
Jeffrey turut dilaporkan berkata, Parti STAR tidak akan mencampuri isu antarabangsa, termasuk konflk di Asia Barat yang ditangani Kementerian Luar dan Putrajaya.