16 MEI: Pengerusi Srikandi Muda Johor dan Bahagian Johor Bahru, Nur Najihah Abdul Halim mengesahkan peletakan jawatannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa hari ini.
Nur Najihah berkata beliau menarik diri dari semua jawatan dipengangnya kerana tidak berpuas hati dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi Srikandi Johor kepada dirinya.
Beliau berkata antara keputusan yang tidak dipersetujuinya ialah tindakan kepemimpinan yang menukarkan jawatannya ke Biro Kesenian dan Kebudayaan Johor untuk penstrukturan semula Srikandi Muda Johor.
“Dukacita dimaklumkan saya tidak dapat meneruskan tanggungjawab sebagai Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor dan Bahagian Johor Bahru berkuat kuasa hari ini.
“Keputusan dibuat ketika bermesyuarat adalah menukarkan jawatan saya dari Pengerusi Srikandi Muda Negeri Johor ke Biro Kesenian dan Kebudayaan Negeri Johor untuk penstrukturan semula Srikandi Muda Johor.
“Penarikan ini disebabkan ketidakpercayaan kepimpinan tertinggi Srikandi Johor kepada saya selaku Pengerusi Srikandi Muda Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ii.
Bagaimanapun, Nur Najihah berkata beliau menghargai peluang dan jawatan yang diberi namun dengan merendah diri menolak jawatan tersebut.
“Kepimpinan tertinggi juga akan melakukan penstrukturan semula barisan kepimpinan yang telah dilantik oleh saya.
“Sehubungan itu, saya juga tidak dapat memberikan komitmen pada masa akan datang berikutan saya juga akan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dan memulakan kerjaya,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Najihah berkata menjadi seorang ketua bukan semata-mata mengajak orang ramai untuk mengikut dan menjadi ‘yes man’, tetapi ada masanya seorang ketua perlu mendengar pendapat dan kritikan pihak lain.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.