17 MEI : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah hari ini menafikan beliau menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.
Rudy berkata, mesej yang disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp itu adalah perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya fitnah semata-mata.
“Beberapa hari ini tersebar mesej memaparkan nama saya dan beberapa pemimpin lain di aplikasi WhatsApp yang akan menyokong Warisan membentuk kerajaan negeri Sabah adalah tidak benar.
“Di sini saya ingin menegaskan bahawa saya menyokong penuh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Justeru, Rudi yang juga menang dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN-16) atas tiket Bebas yang kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran mesej berkenaan.
“Saya berharap agar orang ramai menyiasat terlebih dahulu kesahihan maklumat tersebut yang telah disebarkan menerusi media sosial,” katanya.
Terdahulu, Ketua Penerangan GRS,Datuk Joniston Bangkuai menolak sebarang spekulasi yang mengatakan wujudnya kerjasama PBS dengan Warisan dan perkara itu hanya satu fitnah.
Beliau yang juga setiausaha Agung PBS berkata, perkara itu tidak benar dan sengaja diputar belit oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
Joniston menegaskan tidak wujud isu salah faham menerusi kenyataan yang dikeluarkan PBS melalui presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili baru-baru ini.
Sebelum ini, tular satu kenyataan di media sosial bahawa Warisan yang mempunyai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang mendakwa kononnya akan bersatu dengan parti tempatan iaitu PBS dengan tujuh kerusi, PKR (2), UPKO (1) serta ADUN Bebas (3).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 41 kerusi yang membolehkan kerajaan baharu ditubuhkan, sekali gus akan menumbangkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.