17 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin di Istana Negara, malam ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka baginda berdua di Surau Utama Istana Negara pada 7.30 malam, diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.
Solat sunat hajat itu dipimpin Penolong Pegawai Agama Istana Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim dan disertai 40 anggota jemaah terdiri daripada pegawai serta petugas istana.
Solat sunat hajat itu yang diadakan selepas solat Maghrib berjemaah, dilaksanakan mengikut garis panduan ketat prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka ketika solat.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menitahkan masjid dan surau di seluruh negara serta rakyat di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada niat jahat rejim Israel.