17 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di Selangor, sekiranya usaha sedia ada gagal mengekang peningkatan kes di negeri itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata, beliau bersetuju supaya prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat dilaksanakan di Selangor yang mencatatkan lebih 1,000 kes setiap hari sejak bulan lalu.
Katanya, pelaksanaan PKP di seluruh negara ketika ini, membolehkan KKM menjalankan lebih banyak ujian, pengasingan dan merawat kes positif.
“PKP menyeluruh ini juga membolehkan kita melaksanakan pengesanan kontak lebih cepat, keseluruhan pencegahan dan kawalan kesihatan awam.
“Namun saya bersetuju bahawa kita perlu mencadangkan kepada kerajaan supaya SOP lebih ketat dilaksanakan, malah sekiranya masih tidak berupaya mengekang jangkitan, cadangan PKP penuh boleh dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan, hari ini ketika ditanya mengenai langkah kawalan longgar di Selangor.