17 MEI: Sempadan Rafah dibuka awal sehari semalam membolehkan lebih 250 penduduk Palestin di Genting Gaza yang cedera dipindahkan ke Mesir pada Ahad.
Sumber perubatan mengesahkan tiga konvoi membawa kira-kira 263 penduduk Palestin melintasi sempadan Rafah ke wilayah Sinai Utara.
Media tempatan melaporkan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengarahkan pihak berkuasa menyediakan hospital untuk menerima mangsa cedera dari Genting Gaza.
Difahamkan, sempadan Rafah adalah satu-satunya laluan penduduk Palestin di Gaza ke dunia luar yang tidak dikawal oleh rejim Tel Aviv.
Genting Gaza ketika ini berdepan kepungan haram Israel sejak tahun 2007.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry ketika menyertai sesi mesyuarat secara maya bersama Majlis Keselamatan PBB menegaskan konsesi perlu dicapai untuk keamanan.
Shoukry mengulangi gesaan Kaherah untuk segera melaksanakan gencatan senjata dan mendesak Majlis Keselamatan PBB menggalas tanggungjawab penuh bagi menyelesaikan konflik itu.
Di Tebing Barat, Duta Mesir di Ramallah, Tarek Tayel bertemu dengan Perdana Menteri Palestin, Mohammed Shtayyeh untuk menzahirkan sokongan Kaherah yang akan tetap memberikan bantuan kemanusiaan di Gaza.
Pada Ahad, sekurang-kurangnya 42 lagi penduduk Palestin terkorban selepas rejim Zionis memperhebatkan kempen serangan mereka ke atas Genting Gaza yang merupakan angka kematian tertinggi sejak konflik baharu Israel-Palestin tercetus seminggu lalu.
Menurut Kementerian Kesehatan Gaza, sejak pertempuran bermula 10 Mei lalu, sekurang-kurangnya 192 warga Palestin terkorban, termasuk 58 kanak-kanak dan 22 wanita.
Sementara itu, Israel terus menggempur Gaza dengan serangan udara hari ini.
Associated Press melaporkan, serangan itu menggegarkan kota tersebut dari utara ke selatan dan berlangsung selama 10 minit.