17 MEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah meningkatkan kawalan keselamatan daripada semua aspek, susulan ancaman Israel terhadap pemimpin pejuang Palestin di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kawalan itu bagi memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di negara ini.
Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius ancaman keselamatan dikeluarkan Israel terbabit dan mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung serta menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin di negara ini.
“Justeru, saya menyeru orang ramai untuk bertenang kerana keadaan keselamatan dalam negara adalah terkawal dan kekal berada di tahap yang baik.
“Kerajaan Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian untuk terus menyokong aspirasi dan perjuangan rakyat Palestin,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.
Hari ini, tular di media sosial dan aplikasi sembang mengenai dua badan perisikan Israel dilaporkan mendapat ‘lampu hijau’ untuk menghapuskan pemimpin pejuang Hamas yang berada di dalam dan luar Gaza, termasuk di Malaysia.
Perkara itu dilaporkan blog WarNews247 yang memetik laporan disiarkan sebuah stesen penyiaran televisyen Israel.
Menurut laporan itu, Israel didakwa sudah mengarahkan badan perisikan negara berkenaan, iaitu Shin Bet dan Mossad untuk melaksanakan tugas terbabit.
WarNews247 dipetik berkata, badan perisikan Israel didakwa akan menyasarkan negara-negara seperti Iran, Turki, Qatar dan Malaysia yang dikatakan memberi sokongan, membiayai kewangan serta melatih pejuang Hamas. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN