17 MEI : Dakwaan terhadap penduduk di sebuah taman perumahan di Seksyen 23, Shah Alam yang sudah 40 peratus dijangkiti virus COVID-19 yang tular sejak kelmarin adalah tidak benar.
Persatuan Komuniti Penduduk Seksyen 23 (PKS23) berkata dakwaan itu telah disiar ulang oleh seorang individu yang tidak bertanggungjawab dan orang ramai diharap tidak gusar tentang dakwaan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya telah melakukan perbincangan dengan pegawai khas dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam terhadap dakwaan itu dan siasatan kini sedang dilakukan pihak polis.
“Untuk makluman, kes jangkitan COVID-19 di kawasan Seksyen 23 tidaklah sepertimana yang dihebahkan serta masih terkawal dan bukanlah keseluruhan kes tersebar melalui jemaah surau sepeti yang didakwa.
“Melalui laporan yang diterima dari pesakit, ada juga kes yang berpunca dari luar kawasan Seksyen 23. Jumlah peratus rumah di sini yang terkesan dengan Covid-19 adalah sebanyak 7.5 peratus,
“Manakala hanya 2.5 peratus penduduk dijangkiti virus terbabit,” katanya menerusi kenyataan media di Facebook rasmi PKS23, lewat malam tadi.
Terdahulu, satu hantaran berkenaan penduduk di sini mendakwa komuniti terbabit dijangkiti COVID-19 sebanyak 40 peratus dengan situasi makin tenat tular melalui aplikasi WhatsApp.
Menurut dakwaan tersebut, virus tersebut tersebar daripada seorang jemaah terawih yang positif COVID-19 setelah mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang dijangkiti virus terbabit.
“Sekarang ini adik beritahu ambulans asyik keluar masuk taman penduduk ke pusat kuarantin.
“Hati-hatilah semua…Jangan sampai jadi macam taman perumahan Seksyen 23, Shah Alam. Polis dah nak kepung pasang dawai kawat dah katanya,” katanya.
Dalam pada itu, berkenaan dakwaan ambulan keluar masuk di kawasan tersebut, PKS 23 memaklumkan ianya adalah milik syarikat swasta yang berpengkalan di kawasan ini.
“Ia merupakan milik Airist Ambulans yang berpangkalan operasinya di Seksyen 23 dan mereka bukan membawa pesakit COVID-19.
“Malah sehingga kini, tiada pemasangan pagar atau pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) oleh pihak berkuasa dilaksanakan di sini,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH