17 MEI: Wanita UMNO mengecam tindakan Israel menyerang Palestin atas alasan rejim pimpinan Benjamin Netanyahu itu cuma mahu mempertahankan diri.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim, berkata tindakan dilakukan Israel ke atas Palestin amat keterlaluan dan melanggar undang-undang antarabangsa serta Persidangan Geneva.
“Lebih mendukacitakan apabila kita dikejutkan dengan serangan kepada seorang pengamal media yang membuat liputan di bumi Palestin untuk melaporkan perkembangan terkini ketegangan di antara Israel dan Palestin, walaupun jurugambar itu jelas mengenakan jaket tertera ‘Press’.
“Rejim ini juga bertindak membedil bangunan menempatkan biro media asing di Semenanjung Gaza dan menunjukkan serangan terbabit jelas bertentangan dengan Undang-Undang Antarabangsa (IHL) yang menakrifkan petugas media sebagai sebagai non-combatant, iaitu bukan sasaran dalam apa jua konflik atau peperangan.
“Ketegangan di Palestin juga mengorbankan 197 jiwa, termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita tidak bersalah sehingga hari ketujuh serangan terbabit,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Norliza berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (UNSC) wajar memberi tekanan kepada Israel terhadap serangan tidak berperikemanusian serta mencabuli hak kemanusiaan pada zaman maju ini.
Tindakan dilakukan Israel juga, katanya, adalah perbuatan terkutuk dan keji terhadap sebuah negara serta manusia bernyawa.
Beliau berkata, rejim Zionis wajib dipertanggungjawabkan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pihak berkecuali serta berautoriti, wajar melakukan intervensi terhadap Israel, selain menyelamatkan bumi Palestin daripada perbuatan kejam mereka.
“Saya menyeru rakyat Malaysia dan masyarakat dunia agar terus bersatu hati menentang perlanggaran undang-undang antarabangsa serta tindakan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap Palestin dengan memberi tekanan melalui semua medium undang-undang, politik dan ekonomi.
“Palestin mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan tenteram, justeru berikan pembebasan serta kemerdekaan kepada Palestin, wilayah diduduki dan Semenanjung Gaza,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN