18 MEI: Setiausaha Agung Pro-tem Muda dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Amir Abdul Hadi mengesahkan beliau akan disoal siasat di Bukit Aman, Khamis ini berhubung perhimpunan tunjuk perasaan ‘Buka Puasa Buka Parlimen’ diadakan kumpulan itu pada 30 April lalu.
Katanya, beliau akan disoal siasat bersama enam individu lain yang terbabit dengan perhimpunan itu pada jam 1 tengah hari.
“Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sudah membuat kenyataannya melalui telefon dan beliau tidak akan hadir,” katanya kepada media tempatan.
Lima individu lain itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Ali Bagharib Ali; ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei; Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Sharan Raj; Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan, Asmaalif Abdul Adam; Ketua Pro-tem PEJUANG Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan pengasas bersama Undi-18, Tharma Pillai.
Sebelum ini, polis sudah mengenal pasti lapan individu untuk disoal siasat berhubung perhimpunan itu yang dianjurkan gabungan kumpulan anak muda, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) di hadapan Parlimen bagi menuntut Parlimen bersidang semula.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, sebelum ini dilaporkan berkata peserta tunjuk perasaan itu disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Siasatan itu dijalankan berikutan laporan dibuat Penolong Penguat kuasa, Ahmad Zainal Tuan Ismail yang mengetuai sepasukan anggota polis menjaga keamanan semasa tunjuk perasaan itu.