18 MEI : Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu ditutup selama 14 hari bermula semalam, susulan sebanyak 16 kes positif COVID-19 dikesan di situ.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata penutupan itu bagi membolehkan pelaksanaan sanitasi dan pengesanan kontak rapat.
Katanya, arahan penutupan kampus universiti itu dibuat mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“UniSZA kampus Gong Badak, Kuala Nerus akan ditutup bermula 17 Mei sehingga 30 Mei selepas kes COVID-19 dikesan.
“Sekiranya ada kakitangan atau mana-mana individu datang dari zon merah ke kampus ini, penilaian risiko mesti dibuat.
“Manakala mereka yang mempunyai gejala sepatutnya tidak dibenarkan memasuki kampus,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, pengurusan UniSZA hari ini mengesahkan semua pelajar universiti itu diminta menjalani ujian saringan COVID-19, susulan wujudnya jangkitan pandemik terbabit dalam kalangan penuntut di sana.
UniSZA menerusi kenyataan berkata, hebahan mengenai arahan itu sudah dikeluarkan kepada semua pelajar di kampus dan mereka yang pulang ke kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Pelajar UniSZA yang berada di kampus dan dikenal pasti sebagai kontak rapat sudah menjalani ujian calitan, selain di kuarantin di kolej kediaman masing-masing.
“Bagi pelajar berada di kampung pula, mereka sudah diminta menjalani ujian calitan dan kuarantin di rumah masing-masing,” katanya.