18 MEI: Gara-gara mengadakan majlis kenduri kahwin di Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat lalu, sebuah keluarga dikompoun RM4,000.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tindakan itu dilakukan kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.
Menurut beliau, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkenaan majlis tersebut yang dipercayai diadakan kira-kira pukul 5.30 petang.
“Susulan laporan yang diterima pada pukul 8 malam, polis membuat pemeriksaan ke lokasi majlis diadakan namun mendapati kenduri kahwin itu sudah selesai dan tetamu sudah bersurai.
“Berdasarkan bukti bergambar yang diberikan oleh orang awam mengenai majlis kenduri kahwin berkenaan termasuk kehadiran tetamu, polis mengeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 kepada tuan rumah majlis berkenaan yang jelas melanggar SOP,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Dalam pada itu, Ayob Khan memberitahu, majlis kenduri kahwin itu merupakan salah satu daripada 20 aktiviti sosial yang dikenakan kompaun oleh Polis Johor kerana kesalahan melanggar SOP Aidilfitri.
Beliau berkata, keseluruhan 20 kompaun yang dikeluarkan pihaknya pada Jumaat dan Sabtu lalu itu membabitkan nilai RM42,000.
“Mengikut pecahan, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan di daerah Batu Pahat bagi kesalahan aktiviti ziarah raya, empat kompaun di Kluang dan satu di Johor Bahru Utara (JBU) turut membabitkan kesalahan yang sama.
“Nilai semua kompaun itu adalah sebanyak RM42,000, namun sama ada ia dikurangkan atau tidak, bergantung kepada Kementerian Kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Ayob Khan menyeru masyarakat supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Siapa ingkar, kita akan ambil tindakan. Nak nasihat, kita dah bagi nasihat dah. Jadi, saya seru semua masyarakat khususnya di Johor, supaya patuhi SOP,” katanya.