18 MEI: Kenyataan EXCO Selangor, Teng Chang Khim melabelkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bodoh dalam perutusan Perdana Menteri berhubung isu Palestin, mencerminkan sifat sebenar pemimpin DAP itu.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari, berkata kenyataan itu juga secara tidak langsung, menunjukkan pendirian rasmi DAP dalam isu Palestin dan umat Islam.
Katanya, dalam isu konflik Israel dan Palestin, sebagai sebuah negara berdaulat dan sentiasa mengambil berat isu sejagat serta kemanusian, Malaysia menyatakan pendirian rasminya agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu bertindak segera dan pihak bertelagah perlu menghentikan sebarang serangan ke atas orang awam, terutama membabitkan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
“BERSATU Selangor kecewa dan terkilan dengan hantaran Facebook EXCO Chang Khim melabelkan Perdana Menteri Malaysia sebagai ‘bodoh’ apabila Perdana Menteri selaku pemimpin pentadbiran negara di dalam perutusan khasnya baru-baru, ini memaklumkan pendirian Malaysia mengutuk serangan Israel Zionis ke atas umat Islam yang menunaikan solat Terawih di Masjid Al Aqsa, dua minggu lepas.
“Bagi pengetahuan Teng Chang Khim, sejak Isnin minggu lepas, hampir 200 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan roket Israel dan 92 peratus daripadanya adalah orang awam, manakala 54 kanak-kanak dan 36 wanita terbunuh.
“Berbanding pihak Israel, hanya 10 orang terbunuh dan tiga sahaja kasualti dalam kalangan orang awam, malah hampir 1,500 orang yang kebanyakannya orang awam di kedua-dua pihak tercedera serta dirawat di hospital,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Abdul Rashid berkata, keadaan itu jelas menunjukkan bahawa Israel bukanlah ‘mempertahankan diri’ sepertimana dinaratifkan pemimpin mereka, Benyamin Netanyahu kepada dunia dan PBB.
Katanya, atas faktor itu, Malaysia menyatakan pendirian kerana kecewa dengan apa yang berlaku di Palestin dan menyeru agar konflik dihentikan dengan segera sebelum lebih ramai orang awam cedera serta terbunuh.
Selain itu, Abdul Rashid berkata, semua sedia maklum bahawa kerajaan Malaysia sememangnya sedang menguruskan peningkatan kes positif COVID-19 kini dan Selangor sejak kebelakangan ini adalah penyumbang terbesar kes positif harian.
“Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sejak awal bahawa peningkatan kes mutakhir ini adalah disebabkan tersebarnya tiga varian sangat pantas merebak, iaitu varian B.1.1.7, varian B.1.351 dari Afrika Selatan dan terbaharu varian B.1.617.2 dari India.
“Perkara ini semua kerajaan negeri sudah maklum dan langkah pencegahan serta kawalan sudah dilaksanakan secara bersepadu bersama semua kerajaan negeri,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN