18 MEI: Tindakan pemimpin DAP, Teng Chang Khim menggunakan perkataan bodoh terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan biadab dan keterlaluan.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Selangor, Haszrlihafizi Mohayan, menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang itu, seolah-olah memusuhi orang Islam, selain seperti mencerminkan sokongan terhadap Zionis.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Chang Khim kerana tidak mencerminkan rakyat Malaysia yang memberi keamanan dan perlindungan kepada semua kaum serta agama di negara ini.
“Perdana Menteri hanya menyentuh isu Palestin dan Israel, beliau tidak pernah hilang fokus atau hilang keutamaan terhadap masalah rakyat di negara ini.
“Apabila Chang Khim mengeluarkan perkataan ‘bodoh’, jelas sekali pemimpin DAP itu menyokong Yahudi serta memusuhi Islam.
“Tiba-tiba Chang Khim bersuara menjadi hero apabila bercakap pasal isu rakyat dan COVID-19, padahal selama ini sejak Muhyiddin memberi tumpuan pada penyelesaian isu rakyat, beliau tidak pernah menyokong, malah menidakkan usaha Perdana Menteri itu,’’ katanya menerusi kenyataan, semalam.
Haszrlihafizi berkata, hantaran dibuat Chang Khim sudah diketahui dan tular ramai walaupun pihak terbabit memadamnya.
Justeru, katanya, pihak berkuasa perlu menyiasat perkara itu dan mendakwa Chang Khim atas perbuatan terbabit.
Tegasnya, tiada guna sekiranya DAP diminta mengenakan tindakan tatatertib atau memecat Chang Khim kerana mereka akan memberi pelbagai alasan dan perkara demikian sudah dijangka.
“Lebih berkesan apabila pihak berkuasa perlu bertindak menyiasat dan mendakwa beliau agar perkara ini menjadi pengajaran buat semua,” katanya.
Chang Khim menerusi hantaran di Facebook, mendakwa Muhyiddin cuba mengalihkan fokus rakyat Malaysia yang ketika ini diancam dengan penularan COVID-19 menerusi isu Palestin.
“Jangan mengalih pandangan rakyat daripada fokus. Jaga nyawa rakyat Malaysia yang hidupnya terancam kerana COVID-19 dahulu. Bodoh!” katanya.