18 MEI: Mangsa banjir di Melaka semakin meningkat dan sehingga pagi ini, seramai 554 orang direkodkan, berbanding 321, petang semalam.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, berkata sehingga jam 8 pagi tadi, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka, menjadikan kesemua tujuh PPS disediakan untuk menempatkan mangsa.
“Pertambahan tiga PPS ini adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Molek dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Malim di daerah Melaka Tengah serta SJKC Shuh Yen di Jasin.
“Sehingga pagi tadi seramai 128 keluarga membabitkan 554 mangsa terjejas dipindahkan ke PPS, malah angka ini dijangka bertambah kerana ada PPS masih dalam proses pengiraan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Cuthbert John berkata, sehingga kini, sebanyak 16 kawasan dilaporkan dilanda banjir dan daerah paling teruk terjejas adalah Melaka Tengah.
Katanya, kawasan lain yang terjejas adalah Sungai Putat, Taman Bukit Beruang Utama, Taman Bukit Beruang Bestari, Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Utama, Taman Rambai Indah, Tanjung Minyak, Kampung Pengkalan Batu dan Rumah Awam Ayer Molek.
Alor Gajah turut menyaksikan beberapa kawasan terjejas, iaitu Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi dan Taman Kasawari di kawasan Durian Tunggal.
“Di Jasin pula, tiga kawasan dilaporkan terjejas, iaitu di Tanjung Laboh, Lubok Kasau dan Taman Hang Tuah Perdana,” katanya.