18 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat mampu membendung penularan dan peningkatan baharu jangkitan kes COVID-19, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, Persekutuan itu menyokong usaha kerajaan melaksanakan PKP lebih ketat bagi melandaikan lekuk jangkitan pandemik terbabit, terutama di Selangor yang kini mencatatkan lebih 1,000 kes baharu setiap hari.
Bagaimanapun, katanya, pihak berkuasa diminta tidak menutup sepenuhnya sektor ekonomi kerana tindakan itu akan menyekat proses pemulihannya.
“Walaupun impak PKP secara menyeluruh akan menjejaskan perniagaan dan pertumbuhan ekonomi, MEF tetap menyedari ada keperluan sangat besar untuk membendung peningkatan jumlah jangkitan baharu COVID-19.
“Kami sangat mengambil berat peningkatan kadar jangkitan harian di negara ini yang melebihi 4,800 kes baharu hari ini dengan Selangor mendahului dengan 1,743 kes baharu.
“Jadi sebarang keputusan untuk tujuan ini juga perlu mengambil kira kepentingan perniagaan dan pemeliharaan sumber pendapatan rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Syed Hussain berkata, sebagai majikan dan warganegara bertanggungjawab, ahli MEF melakukan apa yang terbaik untuk mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.
“Majikan juga perlu memainkan peranan positif bagi memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja dilindungi.
“MEF secara berterusan menasihati ahli kami supaya mengambil semua langkah berjaga-jaga sewajarnya supaya pandemik ini berakhir,” katanya.