18 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, melahirkan kebimbangan apabila 11 negeri dan wilayah mencatat kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 melebihi purata kebangsaan semalam.
Dr Noor Hisham dalam perkongsiannya menerusi laman Facebook awal pagi tadi berkata, kadar nilai Rt Malaysia mencatat sedikit peningkatan kepada 1.06 semalam berbanding 1.05 kelmarin, namun 11 negeri mencatat Rt antara 1.08 hingga 1.26.
“Pahang mencatatkan Rt tertinggi semalam dengan 1.26, disusuli Kedah (1.24), Perak (1.22), Terengganu (1.22), Putrajaya (1.16), Negeri Sembilan (1.16), Selangor (1.14), Johor (1.13), Melaka (1.12), Pulau Pinang (1.09) dan Kuala Lumpur (1.08).
“Tiga negeri pula mencatat Rt terendah semalam iaitu Sabah (0.93), Kelantan (0.93) dan Sarawak (0.97), manakala Labuan dan Perlis masing-masing tidak mencatatkan sebarang kes baharu,” katanya.
Nilai R0 merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Sebagai contoh, jika nilai R0 adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.
Data dikongsi Dr Noor Hisham juga menunjukkan, trend kes harian ketika ini sedikit menurun berbanding sebelum ini, namun jumlah kes harian dicatatkan sejak tujuh hari lalu masih tinggi, iaitu antara 3,700 hingga lebih 4,800.
Kes harian mula mencatat lebih 3,000 sejak 28 April lalu, sebelum mula mencecah lebih 4,000 pada 7 Mei lalu.
Berdasarkan trend semasa penularan pandemik itu di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) mengunjurkan kes harian berisiko menghampiri 9,000 sehari menjelang awal bulan depan jika Rt kebangsaan meningkat kepada 1.2.