18 MEI: Perancis menuntut penjelasan daripada Israel berhubungan serangan udara yang dilakukannya ke atas bangunan menempatkan pertubuhan-pertubuhan media di Gaza.
Presiden Emmanuel Macron berkata, Paris sedang berusaha ke arah gencatan senjata bagi mengakhiri keganasan kini dalam konflik Israel-Palestin.
“Keselamatan wartawan dan mereka yang bekerja untuk kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat… melindungi mereka sememangnya merupakan tanggungjawab yang sangat penting,” kata Macron pada sidang media di luar Persidangan Mengenai Sudan di Paris semalam.
Kenyataan Macron itu dibuat susulan panggilan Setiausaha Negara AS Antony Blinken yang menuntut penjelasan daripada Israel kerana memusnahkan bangunan itu dalam serangan udara yang menempatkan pejabat berita Amerika Associated Press (AP) dan Al Jazeera.
Sebelum ini, Israel mendakwa bangunan komersial dan kediaman itu digunakan oleh kumpulan militan Hamas untuk operasi perisikan.
Pemantau media antrabangsa yang berpangkalan di Paris iaitu Reporters Without Borders (RSF) juga meminta: “pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk menentukan sama ada pengeboman itu adalah jenayah perang.”
Minggu lalu, serangan udara Israel telah memusnahkan 23 pejabat media tempatan dan antarabangsa, kata RSF dalam satu kenyataan.
Macron menambah bahawa Perancis sedang mengusahakan perdamaian bersama dengan Mesir, dan Jordan.
Pada Isnin, beliau juga mengadakan perbincangan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi yang berada di Paris untuk persidangan Sudan.
Kenyataan daripada Elysee mengenai pertemuan Macron-Sisi menyebut mereka berkongsi kebimbangan mendalam tentang peningkatan keganasan dan permusuhan itu perlu ditamatkan.