18 MEI: Kelulusan rentas negeri dan daerah kini lebih ketat apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat pemeriksaan dan semakan lebih teliti.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata tindakan itu susulan PDRM mendapati segelintir individu menyalahgunakan atau memalsukan kebenaran rentas negeri dan daerah serta melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan.
“PDRM akan terus mengawasi dan mengehadkan pergerakan orang ramai, terutama membabitkan aktiviti rentas negeri serta daerah dalam usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat.
“Malah, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar SOP ini dan akan mengambil tindakan tegas selaras peraturan ditetapkan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Acryl berkata, orang ramai dinasihatkan terus mematuhi SOP ditetapkan, selain bersama-sama memainkan peranan dalam mengekang penularan pandemik itu.