18 MEI: Individu sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan semata-mata untuk menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau sehingga berisiko mewujudkan kluster COVID-19, dianggap berdosa.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, berkata tindakan tidak mematuhi SOP, sekali gus mengingkari arahan kerajaan itu tetap berdosa walaupun solat dilaksanakan secara berjemaah adalah sah.
“Saya akui jemaah mahu mengejar pahala yang banyak dengan solat berjemaah di masjid atau surau walaupun kerajaan tidak membenarkannya, namun mereka kena ingat solat di rumah secara berjemaah tidak kira walaupun hanya berdua juga pahala tetap sama (berjemaah di masjid atau surau).
“Tidak semestinya kita perlu berjemaah di masjid atau surau baru mendapat pahala banyak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan penduduk di Kampung Pauh Lima, Bachok, Kota Bahru, Kelantan yang dikatakan melanggar SOP apabila menunaikan solat tarawih dalam gelap, walaupun kerajaan mengeluarkan arahan hanya empat jemaah dibenarkan sepanjang PKP.
Mohamad Shukri berkata, hadis nabi jelas mengatakan jangan keluar apabila terdapat satu wabak di sesuatu tempat.
PKP dilaksanakan kerajaan ketika ini, katanya, bertepatan dengan sunnah dan mesti dipatuhi.
“Kita jangan pentingkan diri sendiri, sebaliknya perlu memikirkan kepentingan awam, malah rakyat sepatutnya mengambil pengajaran apa yang berlaku di India.
“Saya sendiri tidak faham kenapa orang ramai masih tidak faham dan tidak mampu mengikut arahan kerajaan, sedangkan sudah lebih setahun kita berdepan pandemik ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, pihaknya berharap kejadian di Kampung Pauh Lima menjadi pengajaran kepada orang ramai.
Katanya, kerajaan bukan menyekat orang ramai untuk menunaikan solat, namun hanya menegah dilakukan di masjid atau surau bagi mengelak berlakunya perkumpulan.
Larangan itu juga, katanya, hanya bersifat sementara dalam usaha memutuskan rangkaian COVID-19.