18 MEI: Pegawai kanan Israel menegaskan Tel Aviv tidak komited melaksanakan gencatan senjata dan menghentikan serangan ke atas Palestin walaupun kekejaman tenteranya sudah memasuki minggu kedua.
Kenyataan angkuh itu dikeluarkan di saat serangan dilakukan Israel menyaksikan angka korban rakyat terus meningkat kepada 212, termasuk 61 kanak-kanak dan 35 wanita.
“Tiada rundingan, tiada cadangan, tiada apa-apa di atas meja,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, orang tengah yang paling dipercayai untuk rundingan dengan pejuang Hamas adalah Mesir.
Ini kerana, katanya, Mesir yang berkongsi sempadan dengan Gaza sebelum ini pernah menjadi orang tengah bagi gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.
Pada masa sama, pegawai terbabit berkata, tindakan keras ke atas Gaza tidak akan berakhir dalam masa terdekat.
“Kami akan terus menyerang mungkin untuk berbulan-bulan,” katanya.
Sebelum itu, di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggesa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berhenti berbalas serangan dengan Palestin dan mendesak gencatan senjata segera dilakukan.
Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, Biden dalam panggilan telefon kepada Netanyahu menyatakan sokongan bagi gencatan senjata dan membincangkan pembabitan AS, Mesir dan sekutu lain.
Biden setakat ini menolak untuk bergabung dengan pemimpin dunia lain, selain ramai ahli parti Demokrat menggesa supaya gencatan senjata segera dilakukan di Israel.
Presiden berusia 78 itu juga mengulangi pendirian tegasnya yang menyokong Israel membedil Gaza sebagai tindakan mempertahankan diri.