19 MEI: Dua lelaki dikompaun RM5,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran polis di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata kedua-dua mereka gagal mengemukakan surat kebenaran atau apa-apa dokumen berkaitan ketika rondaan polis dalam operasi pematuhan SOP PKP di pantai itu kira-kira 4 petang.
“Kompaun itu dikeluarkan kepada lelaki berumur 33 tahun di kawasan parkir Pantai Dataran Kemang kerana merentas dari Seremban ke Port Dickson.
“Manakala seorang lagi berusia 29 tahun dari Sungai Udang, Melaka dikompaun di Pantai Cahaya Negeri, di sini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Aidi Sham berkata dua lagi lelaki berumur 21 dan 25 tahun masing-masing turut dikompaun RM1,500.
“Mereka dikompoun atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika pemantauan polis di Pantai Seri Kemang dekat sini,” katanya.
Justeru itu, Aidi Sham menjelaskan, polis memandang serius sebarang pelanggaran SOP yang ditetapkan kerajaan dalam mengawal jangkitan pandemik COVID-19.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP sepanjang tempoh PKP hingga 7 Jun ini,” katanya.