19 MEI: Empat penduduk Palestin terkorban manakala lebih 200 orang cedera apabila tentera rejim Zionis melepaskan tembahan peluru hidup dalam satu tunjuk perasan oleh penduduk Palestin di Tebing Barat, Gaza semalam.
Sumber memberitahu agensi berita Xinhua, bahawa ramai penunjuk perasaan Palestin cedera apabila tentera Israel melepaskan gas pemedih mata ketika cuba menyuraikan para penunjuk perasaan.
Tunjuk perasaan itu diadakan selepas terdapat desakan supaya mogok awam dilakukan di Tebing Barat bagi memprotes serangan udara rejim Zionis yang masih berterusan di Gaza hingga menyebabkan lebih 200 penduduk di wilayah itu terkorban.
Serangan udara tentera Israel itu bermula pada minggu lalu di Gaza.
Dalam pada itu, Persatuan Palang Merah Palestin dalam satu kenyataan berkata, askar-askar rejim Zionis melepaskan tembakan ke arah ambulans Palestin menyebabkan seorang anggota paramediknya cedera.
Pihak berkuasa Palestin berkata, sebanyak 24 penduduk Palestin terkorban akibat ditembak oleh tentera Israel sejak 10 Mei lalu.
Dalam pada itu, seorang kanak-kanak perempuan Palestin yang berumur 12 tahun cedera akibat ditembak oleh pasukan keselamatan rejim Zionis ketika dia berada di dalam rumah di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur dan telah dihantar ke sebuah hospital untuk mendapatkan rawatan.
Persatuan Palang Merah Palestin di Baitumaqdis berkata, 41 penduduk Baitulmaqdis cedera ketika berlaku konfrontasi antara pasukan keselamatan Israel dengan penduduk Palestin di Bab al-Amud dan Sheikh Jarrah.