19 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini, mengeluarkan ketetapan baharu berhubung bilangan jemaah dibenarkan bersolat Jumaat dan lima waktu di semua masjid serta surau, berikutan peningkatan kes COVID-19 di negeri itu.
Berdasarkan pekeliling berhubung perkara itu yang diedarkan JAIS kepada semua masjid dan surau di Selangor, ketetapan terbabit berkuatkuasa mulai solat Maghrib hari ini, sehingga tarikh ditetapkan nanti.
”Bagi masjid kariah, solat Jumaat dan solat lima waktu hanya dibenarkan seramai 23 jemaah, iaitu membabitkan pentadbir sahaja, manakala surau kariah dan solat lima waktu tidak melebihi 16 jemaah (pentadbir sahaja).
“Solat Jumaat dan solat lima waktu di surau pula hanya dibenarkan 16 jemaah (pentadbir sahaja).
“Dengan pelaksanaan ketetapan pekeliling ini maka surat pekeliling JAIS *Bil (24) dalam JAI.SEL.BPM/01/006/02.JLD.5 bertarikh 11 Mei 2021 adalah dibatalkan,” menurut kenyataan pekeliling itu.
Menerusi pekeliling baharu itu, pentadbir masjid dan surau juga dikehendaki melaksanakan solat menerusi pendekatan pencegahan COVID-19 dengan mengambil langkah penyusunan semula penjarakan fizikal 1.5 meter di antara jemaah dan menjarakkan selang atau baris (saf) jemaah dengan jemaah berikutnya.
JAIS menerusi pekeliling itu turut memaklumkan, semua program pengimarahan masjid dan surau ditangguhkan, melainkan aktiviti atau program kuliah atau tazkirah secara dalam talian, pengurusan solat jenazah serta bacaan Yasin.
Menurut pekeliling itu, kuliah dan tazkirah dalam talian menerusi Facebook (FB) Live, boleh dilaksanakan dan sangat digalakkan dijalankan di semua masjid dan surau di Selangor agar program ilmu serta tarbiyah terus imarah, walaupun terdapat halangan kepada jemaah untuk hadir ke masjid atau surau.
“Pengurusan Solat Jenazah bukan COVID-19 dibenarkan untuk dilakukan di masjid dan surau tetapi kehadiran jemaah atau kaum kerabat terdekat tidak boleh melebihi 25 orang.
“Bacaan Surah Yasin dan zikir munajat sangat digalakkan untuk dilakukan pada setiap malam semasa pandemik COVID-19, manakala majlis Tahlil arwah dibenarkan dengan syarat pelaksanaan program ini hanya membabitkan had bilangan jemaah sedia ada yang dibenarkan hadir,” menurut pekeliling itu.
Selain itu, menurut kenyataan sama, pentadbir masjid dan surau dalam tempoh pelaksanaan PKP hendaklah terus memberi akses dan kemudahan ruang solat kepada musafir, pemandu e-hailing, khidmat penghantar makanan serta pemandu kenderaan awam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“JAIS mengambil perhatian serius mengenai perkembangan terkini penularan meluas COVID-19 dalam komuniti dengan penemuan klasifikasi varian-varian baru yang lebih pantas merebak.
“Statistik penularan di Selangor juga terus berada pada angka tertinggi dan mampu mencetuskan skala penularan lebih besar serta tidak terkawal di negeri ini, selain akan menggagalkan usaha kerajaan, khususnya agensi barisan hadapan sekiranya tiada langkah pencegahan diambil semua pihak.
“Justeru, mengambil kira faktor dan situasi semasa penularan COVID-19 yang semakin kritikal, JAIS perlu mengambil langkah-langkah tegas bagi membendung pandemik terbabit, tambahan penularan turut melebar ke masjid serta surau, walau hakikatnya, situasi ini berpunca daripada aktiviti jemaah atau pentadbir masjid atau surau di sektor sosial lain,” menurut kenyataan itu.