Kerajaan bakal wujudkan tribunal khas pecat KP SPRM
19 MEI: Kerajaan akan mewujudkan satu tribunal khas bagi memecat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secepat mungkin jika wujud keperluan mendesak.
Ketua Pesurujaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada proses reformasi SPRM sejajar dengan resolusi dibuat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 2005.
“Kewujudan tribunal khas berkenaan amat penting bagi memastikan kebebasan dan ketelusan institusi berkenaan daripada tekanan luar.
“SPRM bersedia mencapai hasrat digariskan Konvensyen PBB Memerangi Korupsi (UNCAC) dan juga selaras Kenyataan Jakarta terhadap Agensi Pencegahan Rasuah 2012,” katanya ketika menyampaikan ucap tama secara maya serta pembentangan Laporan Andalan Sejagat bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik, Bank Dunia di Putrajaya hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menambah, menerusi reformasi yang dirangka kerajaan, sebarang pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga perlu melalui proses Perlembagaan Persekutuan.
Langkah berkenaan katanya demi memastikan tahap keselamatan bakal penyandang dan kewibawaan bekas penyandang sentiasa terpelihara daripada elemen campur tangan asing.
“Pada masa kita juga merancang untuk mewujudkan sebuah suruhanjaya sendiri bagi membolehkan SPRM bebas untuk terus melantik, menukar atau memecat mana-mana pegawainya,” jelasnya.
Biarpun tidak dinyatakan secara khusus, namun difahamkan kenyataan Azam berkenaan merujuk isu kontroversi mengenai pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM era Pakatan Harapan (PH).
Aktivis PKR itu menggantikan Datuk Seri Mohammad Shukri Abdull pada 1 Jun 2019 tetapi dikritik pelbagai pihak kerana banyak kes rasuah tokoh PH digugurkan tanpa alasan kukuh.
Dalam pada itu, Azam mengesahkan SPRM hanya berjaya menyempurnakan 29 daripada 115 inisiatif sehingga 31 Disember tahun lalu, manakala baki 86 lagi dalam proses.
“Bagaimanapun kami telah mencapai banyak kejayaan dalam aspek pendakwaan menerusi pelbagai kes berprofil tinggi yang menjadi punca ketirisan peruntukan kerajaan
“Antaranya pada 18 Mac lalu apabila julung kali sebuah syarikat didakwa di bawah Seksyen 17A Akta SPRM kerana merasuah pihak ketiga bagi perolehan kontrak,” katanya.
Satu lagi kejayaan besar SPRM adalah pembongkaran kartel yang memonopoli 354 tender projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion pada awal bulan lalu, membuktikan kesungguhan SPRM memerangi rasuah.