KJ nafi dakwaan perlu 6.1 tahun capai komuniti kelompok
19 MEI : Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi hantaran di Facebook semalam mendakwa, Malaysia memerlukan tempoh 6.1 tahun lagi bagi mencapai komuniti kelompok berdasarkan kadar vaksinasi terkini dilaksanakan negara ketika ini.
Khair yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata kerajaan memberi jaminan kadar vaksinasi COVID-19 akan meningkat lebih ketara mulai Jun, Julai dan Ogos ini.
Ahli Parlimen Rembau itu, berkata peningkatan mulai bulan hadapan itu selari dengan ketibaan lebih banyak bekalan vaksin ke negara ini.
“Apabila kadar vaksinasi meningkat, kita yakin komuniti kelompok dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.
“Kita akan meningkatkan kadar agihan vaksin dari bulan ke bulan. Sebelum ini, agihan vaksin di seluruh negara setiap hari adalah sekitar 30,000 hingga 40,000 suntikan dos namun, semalam ia mencecah 76,000 suntikan dos sehari dan ia akan terus meningkat,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Khairy mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi hantaran di Facebook semalam mendakwa, Malaysia memerlukan tempoh 6.1 tahun lagi bagi mencapai komuniti kelompok berdasarkan kadar vaksinasi terkini dilaksanakan negara ketika ini.
Najib juga mendakwa kadar pemberian vaksin Malaysia adalah antara paling perlahan di rantau ASEAN, walaupun sudah bermula sejak tiga bulan lalu.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata beliau juga mengesahkan bahawa ada beberapa syarikat tempatan yang berminat mendaftarkan vaksin jenis Moderna di negara ini.
“Kita lepaskan vaksin berkenaan untuk pasaran swasta kerana ia vaksin yang mahal. Selain itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) juga masih pada peringkat kajian data bagi vaksin jenis Sputnik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan Sarawak tidak perlu membeli vaksin tambahan kerana kerajaan akan menghantar keperluan vaksin untuk negeri berkenaan.
“Saya sudah maklumkan kepada Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bahawa kerajaan negeri itu tidak perlu membeli vaksin tambahan.
“Ini kerana, kerajaan akan menghantar bekalan ke sana (Sarawak) seperti juga negeri lain sebaik bekalan vaksin sampai dan beliau gembira dengan jaminan yang diberikan,” katanya.