19 MEI: Tentera Zionis menghalang sejumlah sejumlah trak yang membawa bantuan antarabangsa memasuki Gaza selepas Israel menutup laluan Karem Abu Salem yang bersempadan dengan Gaza.
Tindakan menutup laluan tersebut dibuat selepas Penyelaras Aktiviti Kerajaan dan Wilayah Israel (COGAT) mengumumkan pembukaan sementara laluan sempadan bagi membolehkan bantuan disalurkan kepada penduduk Gaza.
Kemudian, menerusi satu kenyataan, COGAT memaklumkan laluan sempadan itu ditutup selepas tentera Israel cedera akibat letupan bom mortar yang didakwa dilancarkan oleh pejuang Hamas.
“Selepas insiden itu, kami putuskan untuk tutup semula laluan sempadan, konvoi bantuan antarabangsa itu tidak akan dibenarkan memasuki Gaza,” kata COGAT.
Terdahulu, penasihat media untuk Asia Barat dan Majlis Pelarian Norway, Karl Schembri berkata, Gaza akan ‘lumpuh sepenuhnya’ jika laluan sempadan terus ditutup.
“Adalah amat penting untuk laluan sempadan terus dibuka bagi membolehkan konvoi kemanusiaan menghantar bantuan kepada penduduk Gaza.
“Penduduk Gaza bukan sahaja memerlukan keperluan asas, mereka juga amat perlukan bantuan kemanusiaan,” ujarnya.
Sementara itu, Schembri turut menggesa gencatan senjata dilakukan segera bagi menjamin keselamatan konvoi bantuan antarabangsa.
“Selagi peperangan berlaku, konvoi bantuan antarabangsa tidak akan boleh dilakukan,” katanya.