19 MEI: Seorang penjawat awam ditahan polis di Melaka kerana didakwa menyokong Israel menerusi satu video berdurasi 59 saat yang dimuat naik di aplikasi TikTok.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Afzanizar Ahmad, berkata pihaknya menerima laporan pada 11.13 pagi semalam sebelum lelaki berusia 31 tahun itu dipanggil untuk direkodkan keterangan, beberapa jam kemudian.
“Hasil siasatan dijalankan mendapati, suspek memuat naik satu video di aplikasi berkenaan dengan nama pengguna @pahlawan90, yang menyatakan sokongan terhadap Israel.
“Video tular tersebut telah menimbulkan reaksi negatif daripada masyarakat, kerana dilihat menyentuh sensitiviti agama,” katanya dalam kenyataan.
Afzanizar berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan didapati suspek memuat naik video tersebut ketika bawah pengaruh dadah.
Suspek kini direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan berasingan bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, selain itu, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis menyeru kepada orang awam supaya menggunakan platform media sosial dengan bertanggungjawab, dengan mengelakkan membuat kenyataan yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.
Prev Post