19 MEI: Lebih banyak fasiliti sedia dibuka di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) Bersepadu 2.0 bagi menampung kapasiti pesakit berisiko rendah, susulan peningkatan kes pandemik ketika ini.
Pengarah PKRC MAEPS Bersepadu 2.0, Dr Shahabuddin Ibrahim, pihaknya juga bercadang menjadikan pusat itu sebagai transit bagi pesakit kategori empat untuk mengelakkan kesesakan di hospital.
“Jika ada keperluan, kita bercadang buka beberapa dewan lain, termasuk dewan E bagi menampung jumlah pesakit COVID-19 ini.
“Begitu juga dengan pesakit kategori empat iaitu yang memerlukan bantuan alat pernafasan, kita bersedia untuk menerima mereka secara sementara sebelum Hospital Sungai Buloh (HSB) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mempunyai kekosongan,” katanya pada sidang media di Serdang, hari ini.
Katanya, sehingga kini PKRC MAEPS Bersepadu 2.0 mempunyai kapasiti sebanyak 5,869 katil dengan 70 peratus sudah dipenuhi.