19 MEI: Walaupun Selangor mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi setiap hari, namun kerajaan negeri masih berdegil untuk tidak mahu melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyeluruh di negeri tersebut.
Hari ini, kes terbaharu di Selangor sudah mencecah lebih 2,000 kes, namun Pengerusi Selangor Task Force Covid-19, Dr Dzulkefly Ahmad tetap mendakwa tahap pengurusan COVID-19 di negeri itu berada ditahap terbaik.
Ketika sidang media di Facebook, beliau dilihat cuba menegakkan benang yang basah dengan memberi alasan kadar kebolehjangkitan masih rendah berbanding enam negeri lain seperti Kelantan dan Pahang.
Beliau juga menyatakan Selangor bukanlah paling parah kes COVID-19 kerana negeri ini menduduki tempat keempat selepas Sabah, Kuala Lumpur dan Sarawak dari segi nisbah penduduk.
“Pahang merekodkan Rt tertinggi iaitu 1.26 diikuti Kedah (1.24), Perak (1.22), Terengganu (1.20), Putrajaya dan Negeri Sembilan (1.16).
“Angka akan tetap tinggi tetapi adakah kita terbeban secara teruk sehingga kita mahu laksanakan PKP menyeluruh? Kita menolak keperluan itu tetapi perlu ada usaha untuk meminimumkan kesan terhadap rakyat yang terbeban ketika ini.
“Jangan jadikan ‘lock down’ jalan mudah kerana kegagalan kita urus PKP 2.0 contohnya. Kematian juga semakin hari semakin tinggi mencanak,” katanya ketika cuba menafikan dakwaan kegagalan negeri Selangor membendung peningkatan COVID-19.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas Covid-19 Negeri Selangor yang turut dihadiri Exco Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud.
Dalam pada itu, Dzulkefly ketika sidang media tersebut dilihat cuba menggunakan nama rakyat yang menyatakan mereka khususnya peniaga akan ditimpa kesusahan.
Namun, apabila PN BBC Portal menjengah ke ruangan komen sidang media tersebut, rata-rata wargamaya di Selangor mahukan PKP secara menyeluruh dilaksanakan segera.
“Kita tidak boleh duduk saja dalam tempoh PKP, perlu ada peningkatan dari segi tindakan.Selain angka yang tinggi ketika ini, Selangor tidak boleh dikatakan negeri paling parah.
“Rakyat kita seramai tujuh juta dan jika termasuk Kuala Lumpur lebih lapan juta. KKM perlu tengok dari segi nisbah jangkitan kepada jumlah penduduk. Jika PKP penuh, Selangor akan jadi mangsa dari segi industri dan aktiviti penduduk. Ini tidak adil,” katanya.
Sementara itu, rata-rata netizen yang mengikuti siaran langsung sidang media itu berasa kesal atas tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang tidak mahu melaksanakan PKP secara menyeluruh.
Rata-rata kecewa dengan sidang media tersebut di mana bekas Menteri Kesihatan itu lebih mencari salah KKM dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berbanding mencari penyelesaian terbaik untuk menurunkan kes di Selangor yang semakin membimbangkan.
Terdahulu, Malaysia mencatat 6,075 kes baharu COVID-19, hari ini, iaitu yang tertinggi sejak negara dilanda wabak itu pada Februari tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Selangor kekal mencatat bilangan jangkitan baharu yang tertinggi dengan 2,251 kes. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH