19 MEI: Seorang peniaga dikenakan denda RM10,000 kerana membenarkan pelanggan makan di warungnya di tapak parkir Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, hari ini.
Sebelum ini, seorang pemilik sebuah kedai makan di Negeri Sembilan juga telah dikenakan kompaun RM10,000 di atas kesalahan yang sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata ketika pemeriksaan dijalankan pasukan pemantau COVID-19 daripada Balai Polis Sungai Petani pada jam 9.45 pagi di warung itu, terdapat beberapa pelanggan sedang makan yang kemudian bertempiaran melarikan diri.
“Berikutan itu, peniaga lelaki terbabit dibawa ke balai polis untuk tindakan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana membenarkan pelanggan makan dalam warung,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Adzli berkata, kompaun dikeluarkan mengikut Perkara 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.