20 MEI: Tiada persiapan rapi dan penyelarasan saringan percuma COVID-19 yang lemah telah mengakibatkan kenaikan mendadak angka jangkitan pandemik itu di negeri Selangor.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin berkata, ia juga menyebabkan kecelaruan berlaku di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Selangor.
Menurutnya, seharusnya saringan besar-besaran yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor wajar diperhalusi dengan melakukan persiapan terutamanya pusat kuarantin bagi memenuhi keperluan pesakit.
“Disebabkan kelemahan itu dalam beberapa hari, ramai orang hadir ke pusat saringan sehingga menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial tidak dipraktikkan dengan sebaiknya.
“Saringan besar-besaran dapat mengesan awal pesakit COVID-19 tapi tanpa penyelarasan yang baik, saringan percuma dan terbuka itu juga antara sebab angka jangkitan harian meningkat mendadak.
“Jangan sampai kerana ego dan tak mahu bekerjasama akhirnya ia menyemarakkan penularan COVID-19,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard menegaskan Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu menggunakan MySelangkah dan sepatutnya diselaraskan menggunakan aplikasi MySejahtera sahaja.
Beliau berkata, menerusi penggunaan MySejahtera pusat data dapat diselaraskan dan sebarang kemungkinan dapat diatasi bersama Kerajaan Persekutuan Dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kerajaan Selangor perlu bergerak bersama dengan Kerajaan Persekutuan dan tak perlu dua aplikasi pangkalan data yang akhirnya menjadikan keadaan bercelaru,” katanya.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH