20 MEI: Khabar angin dan laporan sebuah portal yang mendakwa vaksin COVID-19 di Sabah yang tidak digunakan akan dibuang adalah tidak benar.
Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, vaksin yang disediakan berdasarkan bilangan penerima sehari bagi mengelak pembaziran
Menurut beliau, setakat ini terdapat dua jenis vaksin yang digunakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Sabah, iaitu Cominarty keluaran Pfizer BioNTech dan Coronvac keluaran Sinovac.
“Pengurusan rantaian sejuk bagi vaksin-vaksin ini perlu efektif dan ketat daripada penghasilan sehinggalah pemberian kepada penerima.Vaksin perlu disimpan pada suhu yang ditetapkan
“Ianya hanya dikeluarkan daripada ‘coolbox’ apabila hendak diberikan kepada penerima bagi memastikan tiada pembaziran. Bilangan vaksin yang disediakan adalah berdasarkan bilangan penerima pada hari tersebut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, mengulas perkara berkaitan Christina memberitahu fasa pertama PICK di Sabah membabitkan petugas barisan hadapan, dan dalam tempoh 4 Mac hingga 18 April, sejumlah 94,953 dos telah diberikan.
” Daripada jumlah itu, seramai 52,775 individu telah menerima dos pertama dan daripada jumlah itu, 42,178 telah menerima kedua-dua dos.
”Setakat 18 Mei, jumlah kumulatif dos yang telah diberikan adalah 151,063, di mana seramai 92,694 rakyat Sabah telah menerima dos pertama, dan daripada jumlah itu, 58,369 telah menerima kedua-dua dos,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, disebabkan pemberian vaksin adalah berfasa, ada di antara pendaftar awal tidak dipanggil kerana tidak tergolong dalam kategori yang sepatutnya menerima vaksin dalam fasa pertama.
Tambah beliau, pada 18 Mac, seramai 267,386 rakyat Sabah telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin, iaitu 9.1% daripada populasi negeri dan menjelang 18 April, jumlah itu meningkat kepada 425,143, atau 14.6 peratus.
“Sebulan kemudian, seramai 495,294, atau 16.2%, rakyat Sabah telah mendaftar, tambah beliau. Prestasi pendaftaran adalah berbeza mengikut daerah kerana faktor-faktor tertentu.
“Sebagai contoh, pendaftaran daerah yang tertinggi setakat 18 Mei adalah Putatan, iaitu 42.1%, manakala yang terendah adalah Kinabatangan dengan 5.48%.
“Sementara itu, bagi Kota Kinabalu pula, seramai 105,243 individu telah mendaftar, iaitu bersamaan 24.96% penduduk daerah itu,” katanya.