20 MEI: Prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan Johor ketika ini sudah mencukupi, termasuk mengikut saranan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sedili, Rasman Ithnain, berkata bagaimanapun kerajaan negeri itu perlu mengambil tindakan terbaik daripada aspek memperkasakan penguatkuasaan SOP PKP terbabit.
“SOP PKP sedia ada sepatutnya sudah bagus, cuma daripada segi pelaksanaan, isunya cukup atau tidak kakitangan dan anggota penguatkuasa, jadi kita minta kerajaan Johor mengambil tindakan terbaik, terutama dalam keadaan penularan COVID-19 agak tinggi di johor yang memerlukan suatu pendekatan berkesan dijalankan supaya dapat menyelesaikan isu ini.
“Dalam hal ini, kita minta supaya pihak penguatkuasaan, seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), tentera dan agensi berkaitan keselamatan di Johor mengarahkan lebih ramai kakitangan serta anggota untuk ‘turun padang’ menguatkuasakan SOP PKP sebaik mungkin.
“Kita rasa sikap segelintir pihak yang masih menganggap situasi COVID-19 tidak serius ini perlu diubah bagi memastikan pelaksanaan SOP PKP dikuatkuasakan betul-betul dengan membabitkan semua penguatkuasaan di Johor,” katanya ketika dihubungi Portal PN BBC.
Rasman berkata, rakyat Johor juga disaran mematuhi SOP PKP ditetapkan kerajaan bagi memastikan mereka tidak berdepan risiko dijangkiti pandemik itu.
“Saranan saya kepada rakyat Johor, perkara ini bukan main-main, sebaliknya amat serius kerana berbeza dengan PKP 1.0 dan PKP 2.0, PKP 3.0 adalah agak kuat.
“Saya minta supaya lebih baik duduk di rumah dan jika tiada keperluan penting jangan keluar, kena ada sikap bertanggungjawab sebagai rakyat Johor,” katanya.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini, menyeru perbincangan secara mesyuarat perlu diadakan dalam kalangan Ahli Parlimen dan ADUN negeri itu, bagi mengenalpasti kaedah terbaik untuk membendung penularan COVID-19 di Johor.
Baginda bertitah, menerusi perbincangan dengan dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad itu, semua Ahli Parlimen dan ADUN terbabit, boleh memberikan buah fikiran serta pandangan masing-masing berhubung isu berkenaan, selain mencari pendekatan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
Kes COVID-19 di Johor menunjukkan jumlah harian tiga angka sejak beberapa bulan dan hari ini, negeri berkenaan merekodkan sebanyak 615 kes baharu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata, ketika ini sememangnya Menteri Besar Johor turut terbabit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sidang Khas MKN dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diadakan beberapa kali setiap minggu.
Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad
Justeru, katanya, buat masa ini, Ahli Parlimen dan ADUN belum mempunyai keperluan untuk terbabit dalam Isu COVID-19 walaupun mereka adalah penggubal undang-undang, memandangkan kini darurat diisytiharkan yang menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen tidak bersidang.
“Kabinet dan MKN cukup ketika ini,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Tambahnya, adalah lebih baik Adun dan Ahli Parlimen membantu memberi penjelasan kepada rakyat untuk menerima program vaksinisasi serta mengelak terpengaruh dakyah mereka yang anti vaksin.
ADUN Bukit Batu merangkap Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Johor, Jimmy Puah Wee Tse, pula berkata, cadangan dititahkan Sultan Ibrahim itu, mampu membendung COVID-19.
“Menteri Besar dan kerajaan negeri ini, perlu segera menetapkan tarikh bagi mengadakan mesyuarat seperti mana dititahkan Sultan Johor.
“Patik yakin, cadangan dikemukakan itu akan dapat mengawal penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan pantas,” katanya. –Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN