20 MEI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menyeru perbincangan secara mesyuarat perlu diadakan dalam kalangan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, bagi mengenalpasti kaedah terbaik untuk membendung penularan COVID-19 di negeri itu.
Baginda bertitah, menerusi perbincangan dengan dipengerusikan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad itu, semua Ahli Parlimen dan ADUN terbabit, boleh memberikan buah fikiran serta pandangan masing-masing berhubung isu berkenaan, selain mencari pendekatan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
“Sejak kebelakangan ini, Johor mencatatkan kes positif COVID-19 semakin tinggi, malah merujuk kepada kes dilaporkan semalam, Johor merekodkan sebanyak 699 kes.
“Pihak pentadbiran kerajaan, semua Ahli Parlimen dan ADUN di Johor perlu memainkan peranan dalam memastikan penularan COVID-19 segera dibendung dan pada masa sama, mereka yang terkesan hendaklah dibantu.
“Saya sedar akan Ordinan Darurat sedang berkuatkuasa kini menghalang persidangan Parlimen dan DUN untuk dijalankan ketika ini, namun saya rasa khidmat Ahli Parlimen serta ADUN di Negeri Johor perlu digembleng untuk terus membantu rakyat yang terkesan akibat penularan pandemik terbabit,” titahnya menerusi muat naik di Facebook rasmi baginda, hari ini. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN