21 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan jumlah pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di hospital di seluruh negara kini mencecah 643 orang termasuk 363 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes baharu positif COVID-19 harian menurun kepada 6,493 kes hari ini berbanding semalam 6,806 kes, manakala kes kematian berkurangan menjadi 50 kes berbanding 59 kes pada hari sebelumnya.
Beliau berkata dengan pertambahan itu jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini mencecah hampir 500,000 kes atau lebih tepat lagi 498,795 kes termasuk 444,540 pesakit atau 89.1 peratus kes sudah pulih dan 52,106 kes masih aktif.
Katanya,daripada 6,493 kes baharu dilaporkan hari ini 6,491 kes adalah membabitkan kes jangkitan tempatan (6,038 warganegara (93 peratus) dan 453 bukan warganegara (7.0 peratus) manakala dua lagi kes import.
“Sebanyak 22 daripada 50 kes kematian dilaporkan hari ini berlaku di Selangor, lapan kes di Sarawak, lima kes di Johor, empat kes di Kedah, tiga kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan, Perak, dan Melaka, serta masing-masing satu (1) kes di Pulau Pinang dan Kelantan.
“Kes kematian berkenaan membabitkan 49 warganegara dan seorang warga asing berusia 35 hingga 90 tahun, dengan 46 daripadanya mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dan dislipidemia manakala empat daripadanya tidak dimaklumkan sejarah penyakit,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham juga mengesahkan KKM mengesan 18 lagi kluster baharu COVID-19 hari ini menjadi jumlah keseluruhan 1,984 kluster termasuk 1,455 kluster sudah tamat dan 529 kluster masih aktif.
“Selangor terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 2,163 kes.
“Ini disusuli Kuala Lumpur (641), Sarawak (612),Kelantan (467), Kedah (434), Johor (406), Perak (382), Negeri Sembilan (370), Pulau Pinang (303), Melaka (165), Pahang (161),Sabah (144), Terengganu (139), Labuan (84), Putrajaya (20) dan Perlis (3),” katanya.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.
Next Post