21 MEI: Dua lagi Srikandi Muda Johor, Nor Jazreeniza Mad Jaafar dan Nur Sofea Ariessa Azizul meletak jawatan berkuat kuasa semalam.
Baru-baru ini, Pengerusi Srikandi Muda Johor, Nur Najihah Abdul Halim turut meletak jawatannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Nor Jazreeniza merupakan Ketua Penerangan Srikandi Muda Johor, manakala Nur Sofea Ariessa menjawat jawatan Bendahari Biro Srikandi Muda Johor.
Pengumuman mereka dimuat naik di Facebook Srikandi Johor Bahru, dengan Nur Sofea Ariessa Azizul menyatakan keputusan itu ekoran berlaku perubahan drastik dalam struktur organisasi Biro Srikandi Muda Johor.
Meskipun tidak dinyatakan sebab utama penarikan diri mereka daripada sayap parti itu, kedua-duanya dipercayai tidak berpuas hati dengan rombakan jawatan dalam Srikandi Muda negeri termasuk melibatkan Nur Najihah, sebelum ini.
“Saya amat menghargai peluang yang diberi serta jawatan dalam peringkat negeri. Saya juga ingin memohon maaf jika terdapat kesalahan sepanjang saya menggalas tugas sebagai Bendahari Biro Srikandi Muda Johor,” ujar Nur Sofea Ariessa.
Nor Jazreeniza pula yang kini berada di luar negara berkata, perkara itu turut menjadi penghalang buat dirinya untuk memberikan komitmen memegang jawatan berkenaan.
“Saya bagaimanapun amat menghargai peluang dan jawatan yang diberikan di peringkat negeri.
“Saya berharap pihak tuan puan dapat meneruskan perjuangan dalam parti dengan berintegriti, amanah dan jujur tanpa ada rasa iri hati,” katanya.
Srikandi Muda adalah biro di bawah Srikandi Johor yang merupakan sayap Bersatu selain Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).