21 MEI: Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor kerana didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menganjurkan majlis sambutan Aidilfitri di kediamannya di Tanjung Sepat, Kuala Langat, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata EXCO terbabit dan beberapa individu yang menghadiri sambutan itu akan dipanggil untuk direkodkan keterangan dalam masa terdekat.
“Kita membuka kertas siasatan petang semalam selepas sebuah gambar mengaitkan pelanggaran SOP itu tular di media sosial,” katanya dalam sidang media secara dalam talian, hari ini.
Arjunaidi berkata, kes itu disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Jika siasatan mendapati wujud kesalahan, kita akan ambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, tular gambar menerusi ciapan di Twitter berserta kapsyen ‘Satu lagi kes perlanggaran SOP melibatkan kluster kayangan.. tarikh dan masa dah terpampang kat gambar-gambar tu’.